 |
Asal Usul Jelebu |
|
|
 |
Menurut cerita
orang-orang tua yang diceritakan secara lisan dari satu
generasi ke satu generasi, kisah tentang seorang Tok Batin
yang telah membuka sebuah ladang labu dan tanaman labunya
cukup subur sehingga akar labunya menjalar ke Ulu Klawang.
Kerana kesuburan labu Tok Batin itu, maka ramai orang datang
ke ladang labu Tok Batin tersebut.Mereka menamakan tempat
itu sebagai ‘Jalar Labu' sehingga lama-kelamaan bertukar
menjadi Jelebu.
Sejarah pembukaan Jelebu selalu dikaitkan dengan kedatangan
orang Minangkabau. Pada asalnya Jelebu didiami oleh kaum
orang asli keturunan Temuan dari suku Biduanda. Kisah
bermula apabila Batin Terjali anak kepada Maharaja Alif yang
memerintah kerajaan Pagar Ruyung Minangkabau, pergi
mengembara untuk mencari pengalaman dan meluaskan lagi
pemerintahan ayah baginda. Setelah jauh mengembara Batin
Terjali dan pengikut-pengikutnya sampai di Bukit Kundik di
Jelebu. Kedatangan mereka disambut baik oleh orang-orang
asli di kawasan tersebut.
Semasa di Jelebu, Isteri Batin Terjali iaitu Puteri Embong
Sari melahirkan seorang anak lelaki dan diberi nama Datok
Niko Menteri Mangku Alam Raja Sehari. Sebelum meninggalkan
Jelebu untuk meneruskan pengembarannya, Batin Terjali telah
mewariskan putera baginda kepada ketua suku orang asli
supaya menjaga puteranya dan apabila besar kelak hendaklah
dijadikan penghulu Jelebu. Ketua orang asli itu bersetuju
dan berjanji akan patuh dengan apa yang telah diperintahkan.
Ketua orang asli telah menepati janjinya dan Datok Niko
Menteri Shah Maku Alam Raja Sehari dilantik menjadi penghulu
Jelebu. Maka wujudlah pemerintahan putera Batin Terjali dan
hubungan antara orang Minangkabau dan orang asli pun
terjalin dan sejak itulah orang Minangkabau mula berhijrah
ke Jelebu. Dalam senarai daftar nama penghulu di Jelebu,
orang pertama dicatat namanya sebagai penghulu Jelebu ialah
Datok Gombak, kemudian Datok Metunggang dan diikuti oleh
Datok Moyang Salleh.
Jelebu juga terkenal sebagai kawasan lindungan hujan kerana
letaknya di dataran tinggi dan jarang menerima hujan
berbanding kawasan lain di Negeri Sembilan. Kerana itu
tanahnya subur dan terkenal dengan pengeluaran buah-buah
tempatan dan penanaman tumbuhan di Jelebu adalah sangat
subur.
|